Teknologi hijau, misalnya, menjadi buah mulut terutama selepas isu pemanasan global sering menjadi topik hangat ditambah pula sogokan satu demi satu berita kemusnahan dan bencana alam, malah ia turut menjadi filem yang mengingatkan manusia betapa dunia sudah tiba ke minit terakhir.
Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham, menjangkakan perubahan iklim membuka mata banyak pihak menilai semula model perniagaan sedia ada dengan membangunkan strategi yang berbeza.
Kebanyakan organisasi bakal menggunakan strategi hijau dalam pelbagai aspek bagi mengurangkan penggunaan karbon.
"Secara tidak langsung, ia akan mengurangkan kesan rumah hijau serta dalam masa yang sama menjimatkan kos,” katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan, aplikasi hijau dalam teknologi perlu disusuli dengan perubahan budaya kerja serta kerjasama kuat antara industri bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Peneraju perniagaan perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam merangka kaedah dan ukuran terbaik yang mampu membangunkan permintaan terhadap teknologi hijau pada masa depan,” kata Abraham.